Wednesday, August 30, 2017

0

Kelebihan Puasa Hari Arafah

  • Wednesday, August 30, 2017
  • Rahman Hatim
  • Puasa hari Arafah jatuh pada 9 Dzulhijjah.  Ia disunatkan kepada orang yang tidak menunaikan haji, iaitu bagi bukan jemaah haji.  Antara kelebihan puasa sunat hari `Arafah ialah:

    1)  Diampuni dosa setahun yang lepas dan setahun yang akan datang.
    Dari Abu Qatadah radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam pernah ditanya tentang puasa hari `Arafah, kemudian Baginda menjawab:

    يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَ الْبَاقِيَة

    “Puasa itu (puasa hari `Arafah) dapat menebus dosa setahun yang telah berlalu dan setahun akan datang.”
    (HR Muslim)

    2)  Amalan terbaik yang disukai ALLAH Ta`ala kerana ia termasuk dari 10 hari pertama dari bulan Dzulhijjah.

    Dari Ibnu `Abbas radhiAllahu `anhuma bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:

    مَا مِنْ اَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا اَحَبُّ اِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الْاَيَّامِ, يَعْنِي اَيَّامَ الْعَشْرِ, قَالُوا:  يَا رَسُولَ اللهِ, وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ؟  قَالَ:  وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ, اِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ شَيْءٌ

    “Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi ALLAH selain dari hari-hari yang sepuluh ini (pada bulan Zulhijjah).”

    Para sahabat bertanya: “Walaupun berjihad di jalan ALLAH?”

    Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:  “Walaupun berjihad di jalan ALLAH, kecuali lelaki yang keluar berjihad membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).”
    (HR al-Bukhari)

    3)  Hari yang paling banyak dibebaskan dari api neraka.
    Dari `A’isyah radhiAllahu `anha berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:

    مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنْ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَة

    “Tidak ada hari yang lebih ramai ALLAH Ta`ala membebaskan hambaNYA daripada api neraka lebih daripada hari `Arafah.”
    (HR Muslim)

    Bagi jemaah haji, mereka tidak disunatkan berpuasa.  Malah disunatkan berbuka sebagai mengikut Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam dan supaya dia tetapkuat dan gagah untuk memperbanyakkan doa pada hari tersebut.

    Semoga ALLAH Ta`ala memberikan kita hidayah dan taufiq untuk dapat melaksanakan ibadah puasa sunat hari `Arafah dan mengecapi kelebihan-kelebihan daripadanya, amin…


    Rujukan:

    Riyadh as-Solihin, bab keutamaan berpuasa dan berbuat baik pada 10 hari permulaan bulan Dzulhijjah.
    Al-Fiqhu al-Manhaji `ala Madzhab al-Imam asy-Syafi`i, bab puasa sunat.

    Kredit: shahmuzir


    Free Auto Malaysia Backlinks My Ping in TotalPing.com