2 Bilion Mesej Teks Dihantar Cuti Aidilfitri

JAKARTA: Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat meramalkan bahawa sekurang-kurangnya dua bilion mesej teks akan dihantar sepanjang cuti Aidilfitri tahun ini.

Jumlah berkenaan termasuk anggaran teks yang akan dihantar sehari sebelum Hari Lebaran yang juga hari terakhir Ramadan. Dengan anggaran 230 juta penduduk ia menyamai purata penghantaran lapan teks bagi setiap orang termasuk wanita dan kanak-kanak di seluruh negara kepulauan itu selama tempoh empat hari. “Kami meramalkan bahawa akan berlaku kesesakan dalam telekomunikasi sepanjang musim cuti Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Orang ramai akan menghantar sekurang-kurangnya dua bilion mesej teks ketika cuti perayaan itu,” kata jurucakap kementerian, Gatot Dewa Broto yang dipetik The Jakarta Post.

Gatot menggesa penduduk supaya menggunakan perkhidmatan telekomunikasi dengan efektif.

“Jika talian telefon atau internet sedang sibuk atau sesak, sila tunggu sebentar dan cuba sekali lagi,” katanya.

Beliau juga mencadangkan penduduk untuk cuba mengelak menghantar mesej teks terlalu banyak kepada sebilangan rakan mereka secara serentak untuk mengelak kelembapan sistem.



Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama